March 23, 2023

Muqharabbin letak jawatan Exco Pemuda UMNO Lembah Pantai

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin melepaskan jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Lembah Pantai serta merta berikutan menganggap partinya kini suda mati demokrasi.

Beliau berkata kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kini adalah para pemimpin yang paling penakut dalam sejarah parti itu.

“Saya akan serahkan surat rasmi perletakan jawatan dalam minggu ini.

“Tiada guna orang muda seperti saya dan lain-lain berjuang untuk perjuangan nenek moyang bangsa agama kami, tetapi dipimpin oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada para sahabat-sahabat UMNO Malaysia yang bersamanya dalam perjuangan semenjak 2018 hingga kini.

“Kita tetap bersahabat selamanya dan menjaga ukhwah sesama kita.

“Selamat maju jaya buat semua sahabat Ketua Ketua Pemuda UMNO seluruh negara,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat.

Katanya, mereka “dipecat daripada UMNO atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu PRU15”.

Selain Datuk Seri Hishammuddin Hussein, turut digantung keahlian selama enam tahun adalah bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *